Keadaan Hospital Queen Elizabeth II terkawal – Dr Adham

0
1

HOSPITAL Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah masih berada dalam keadaan terkawal walaupun dua kakitangan perubatannya disahkan positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kaedah kawalan dengan menggerakkan tenaga atau kakitangan dari kawasan lain yang tidak terjejas ke hospital terbabit.

Kata Dr Adham, sehingga kini, dua jururawat disahkan positif Covid-19 di hospital terbabit dengan 40 jururawat lain pula sedang dikuarantin.

“Keadaan terkawal dan tidak lumpuh seperti yang dikatakan kerana ada kakitangan lain yang digerakkan ke situ selepas proses nyah kuman dan sanitasi diselesaikan.

“Setakat ini, seorang jururawat di unit rawatan rapi (ICU) positif saringan penyakit seperti influenza (ILI) di mana beliau mempunyai kontak dengan sepupu yang positif.

“Hasil pengesanan kontak, ada seorang lagi jururawat di ICU positif dan sedang dikuarantinkan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, sebahagian besar daripada 40 jururawat yang dikuarantinkan itu mempunyai gejala dan sebahagian mereka juga mempunyai kontak rapat dengan dua kes indeks berkenaan.

Beliau turut memohon penduduk di Kota Kinabalu untuk kekal bertenang dan bersama-sama menentang penularan pandemik ini.-Malaysiapost