Bot nelayan karam, 11 individu dikhuatiri lemas

0
1

[Dunia] SERAMAI 11 individu dikhuatiri lemas selepas sebuah kapal nelayan karam di perairan pulau peranginan di Indonesia, 5 Oktober lalu.

Menurut ketua pejabat mencari dan menyelamat di Pulau Bali, Gede Darmada, kapal nelayan iaitu KM Tanjung Permai dikendalikan sebuah syarikat perikanan dilanda ombak besar sebelum terbalik di selatan pulau Bali pada Isnin malam.

Darmada berkata, maklumat itu diperoleh daripada Nurohman, kru kapal berkenaan yang diselamatkan pada petang semalam.

Katanya, kapal itu belayar ketika cuaca buruk dan tanpa peralatan keselamatan.

“Berdasarkan keadaan tanpa jaket dan peralatan keselamatan lain, peluang 11 kru untuk ditemukan hidup adalah sangat tipis.

“Nurohman yang dihanyutkan arus diselamatkan sebuah bot yang kebetulan melalui kawasan selat Grajagan di wilayah Jawa Timur,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ketua unit operasi pejabat mencari dan menyelamat di Bali, Alif Supartana, berkata misi mencari dan menyelamat disambung pada hari ini, turut melibatkan anggota Tentera Laut, polis di pulau Bali dan daerah Banyuwangi. – Malaysiapost

Foto Kredit: Indobalinews