AirAsia sahkan 10 peratus pekerjanya diberhentikan

0
2

SYARIKAT penerbangan Airasia Bhd dan Airasia X Bhd mengesahkan terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah pemberhentian itu terpaksa dilakukan berikutan realiti sektor penerbangan yang sukar pulih dalam masa terdekat ini.

Katanya, kumpulan penerbangan itu bakal beroperasi dengan skala yang lebih kecil selepas ini dan AirAsia akan berusaha untuk menyelamatkan seberapa ramai kakitangan yang diberhentikan.

“Kami sangat bermotivasi untuk menang kerana kami sangat bermotivasi untuk mengambil semula mereka bekerja dan menyediakan sebanyak mungkin pekerjaan yang kami boleh sediakan, kakitangan hebat kami tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“AirAsia mengambil berat kebajikan pekerjanya. Apa sahaja yang orang katakan, kita membangunkan syarikat yang hebat atas usaha gigih pekerja yang hebat, 24,000 pekerja yang hebat dan kita kehilangan sebahagian daripada mereka walaupun bukan salah mereka.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk berusaha memulihkan semula syarikat penerbangan ini dan menyediakan pekerjaan lain kepada mereka,” katanya  ketika temu bual dalam program berita Buletin Utama TV3.

Awal Jun lalu, AirAsia telah mengurangkan lebih 250 pekerjanya akibat penularan pandemik tersebut.

Dalam temu bual tersebut, Fernandes turut bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk tidak menyelamatkan mana-mana syarikat penerbangan dengan sebarang suntikan dana.

Bagaimanapun, katanya, sokongan dari sudut pinjaman bagi sektor kritikal adalah amat diperlukan.

“Kerajaan telah menyediakan skim PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) yang mana baik dan mencukupi bagi kami. 

Itu adil kerana bukan usaha menyelamat, ia adalah pinjaman dan kami perlu membayar balik pinjaman itu. Ia tidak berbeza dengan kami mendapatkan daripada pemberi pajak.

“Sesiapa yang menyatakan PRIHATIN adalah langkah menyelamat, (yang saya fikir) adalah salah. Malaysia Airlines mempunyai pemegang saham besar, Khazanah Nasional Bhd. Saya fikir ia adalah wajar (Menteri Kewangan) Tengku Zafrul berkata, perniagaan mesti berdiri sendiri,” katanya.-Malaysiapost