Aktiviti ziarah ke rumah individu sedang kuarantin punca Kluster Bah Puchong

0
2
Selangor Exco YB Ng She Han speaks to media regarding plastics recycling factory waste in Jenjarom July 24,2018. Picture by - Ahmad Zamzahuri

KLUSTER Bah Puchong yang dikenalpasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, berpunca daripada aktiviti ziarah saudara-mara ke rumah individu yang sedang menjalani kuarantin.

Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han berkata individu itu menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari Sabah.

“Dia berada di rumah menjalani kuarantin, tetapi saudara-mara di Perak mengunjunginya dan tinggal bersamanya lalu mereka juga positif.

“Semua yang positif kini dirawat di hospital dan semua kenalan mereka telah diperiksa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sze Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara bagaimanapun berkata kemunculan kluster baharu itu tidak bermaksud Puchong kini berdepan wabak Covid-19 yang serius.

Katanya, kluster itu dinamakan Bah Puchong kerana individu tersebut tinggal di Puchong dan pulang dari Sabah.

“Tetap tenang, pakai pelitup muka, jaga jarak sosial dan selalu cuci tangan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kluster baharu merentasi negeri dikenali Kluster Bah Puchong dikenalpasti di daerah Petaling, dan di Perak membabitkan daerah Larut, Matang, Selama serta Kinta.

Katanya, kes indeks bagi kulster itu dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari Sabah.

Sehingga semalam, 39 individu telah disaring. Di Selangor tiga individu positif Covid-19 dan sembilan lagi masih menunggu keputusan.

Di Perak pula 27 individu telah menjalani saringan dan didapati dua kes adalah positif, manakala 25 lagi menunggu keputusan. – Malaysiapost

Foto Kredit: malaymail