
Muhammad Mustakim
UMNO tidak layak ketuai Kerajaan Sabah berdasarkan keputusan yang diperoleh parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata parti itu menang tidak sampai separuh daripada kerusi yang ditandingi, sekali gus menunjukkan Umno belum cukup berjaya.
“Di Sabah kita tak berjaya menang dengan bilangan kerusi yang cukup yang wajar untuk kita pimpin iaitu hanya 14 kerusi dari 32 yang kita bertanding.
“Jadi di mana kejayaan kita? Tak smpai separuh pun.. kalau menang lebih orang nafikan hak, kita boleh kata dianayai,” katanya kepada Malaysiapost.
Tajuddin berkata, Umno perlu bermuhasabah diri dengan keputusan berkenaan dan menilai kembali hasil PRN Sabah itu.
“Kalau ada hak, baru boleh tuduh orang anayai kita tetapi dari segi pertandingan kenapa kita menang 14?
“Jadi kenalah muhasabah diri adakah sebab kelemahan kita atau orang lain permainkan kita.
“Namun, pandangan saya ia adalah kombinasi kedua-dua faktor berkenaan iaitu kelemahan kita dan kehebatan orang lain dalam bermain politik,” katanya.
Sebelum ini, berlaku pertikaian siapa berhak menjadi Ketua Menteri Sabah membabitkan Datuk Hajiji Noor dari Bersatu dan Datuk Seri Bung Moktar Radin dari Umno. -Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama
