Ismail Sabri batal sidang media kerana ‘swab test’

0
1

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sidang media harian hari ini dibatalkan kerana beliau melakukan ujian saringan Covid-19.

Katanya, ramai mempersoalkan kenapa beliau tiba-tiba membatalkan sidang media itu.

“Sebenarnya, pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya mengawal penularan Covid-19 seperti memperkenalkan PKPB zon Kota Kinabalu termasuk Penampang dan Putatan.

“Selepas habis mesyuarat, saya dimaklumkan Menteri Hal Ehwal Agama (Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Ak-Bakri) didapati positif Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, beliau berada dalam mesyuarat tersebut.

“Oleh itu saya membuat keputusan segera untuk swab test dan balik ke rumah untuk ‘self-quarantine’.

“Saya tidak mahu sidang media saya itu boleh membahayakan para media. Insya-Allah, esok keputusan swab test saya itu akan keluar. Doakan agar keputusannya nanti negatif,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang individu yang hadir mesyuarat berkenaan disahkan positif Covid-19.

Berikutan itu, semua yang hadir ke mesyuarat tersebut menjalani saringan kesihatan hari ini serta sampel telah diambil untuk ujian pengesanan jangkitan Covid-19. –Malaysiapost