DUA beradik ditemukan lemas dalam kolam tadahan air hujan di Jalan Cheras Prima, Taman Sutera, Cheras, Kajang petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa, Mohd Rayan Ikram, 8, dan kakaknya, Nur Farisah, 10, ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 petang dan tiba di lokasi jam 5.21 petang.
“Dua pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kejadian membabitkan dua beradik lemas di dalam kolam tadahan air hujan dan diselamatkan orang awam sebelum dibawa naik ke tebing.
“Sebaik anggota bomba tiba terus melakukan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-Malaysiapost

