PAGI ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak COVID-19.
Saya memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes-kes baharu penularan jangkitan Covid-19.
Saya ingin memberikan jaminan dan komitmen Kerajaan untuk terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan virus ini sebaik mungkin.
Mesyuarat pagi ini melaporkan bahawa pada 2 Oktober 2020, bilangan kes harian Covid-19 di dalam Negara merekodkan 287 kes baharu.
Daripada jumlah itu, 128 kes dilaporkan di Kedah melibatkan kakitangan dan tahanan di Penjara Alor Setar. Selebihnya pula dilaporkan di Sabah dan beberapa negeri lain di Semenanjung.
Pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dari Sabah sehingga 2 Oktober 2020 ialah 139 orang iaitu 1.18% daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di dalam Negara.
Situasi pada masa ini adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh KKM.
Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.
Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.
Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam Negara.
Saya amat berharap perkara ini dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Mesyuarat pada hari ini dimaklumkan Kes penularan Covid-19 di negeri Sabah didapati berpunca daripada kemasukan PATI dari negara jiran.
Sehubungan itu, kerajaan telah membuat keputusan semua PATI yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat-Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan. Pada masa ini, PTS di Sabah telah melebihi kapasiti.
Sehubungan itu, kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan. Dalam pada itu, petugas KKM juga telah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas PATI yang ditahan.
Anggota keselamatan negara juga akan ditambah untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di negeri Sabah. Aset-aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara.
Saya juga ingin memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan Negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita telah lalui sebelum ini.
Kita mempunyai 40 buah hospital dan 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 buah katil. Kadar penggunaan katil di hospital-hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24 peratus sahaja.
Selain itu, fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 buah katil ICU dan 1,505 alat bantu pernafasan (ventilator).
Saya ingin menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini.
Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.
Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. – Malaysiapost

