Covid-19: Tangguh kemasukan IPT demi keselamatan pelajar

0
1

KEPUTUSAN Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan kepulangan semula pelajar ke kampus disifatkan sebagai tindakan berani demi memastikan keselamatan pelajar dan masyarakat terjamin.

Pengerusi Sekretariat Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata pihaknya menyokong keputusan tersebut.

“Keputusan ini adalah satu langkah berani namun prihatin dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan pelajar, ibu bapa, masyarakat serta seluruh rakyat Malaysia terjamin.

“Terutama ketika pandemik Covid-19 mencatatkan peningkatan yang ketara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua pelajar disaran memberikan kerjasama dengan melaksanakan sesi pendaftaran, minggu suaikenal, pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kemahasiswaan secara dalam talian sehingga keadaan pulih.

“Sekiranya pelajar mengalami masalah dari keputusan penangguhan ini, kami sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan demi kebajikan pelajar yang tercinta.

“Patuhilah prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan titipkanlah doa agar universiti kita dan Malaysia tercinta terpelihara dari pandemik ini,” katanya.

Terdahulu, KPT mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini. -Malaysiapost