Covid-19: PH, PN perlu laksana ‘gencatan politik’

0
1

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa semua parti politik tanah air, terutamanya pihak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan “gencatan politik” buat sementara waktu.

Gencatan politik disarankan susulan gelombang kedua Covid-19 yang menggerunkan rakyat malah semalam sebanyak 287 kes dicatatkan iaitu yang tertinggi di negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan, berkata tidak dinafikan gelombang penularan Covid-19 pada kali ini berkait rapat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, PRN Sabah dilaksanakan kerana konflik politik sehingga berlakunya pembubaran DUN Sabah.

“Semua ahli politik perlu mengambil iktibar daripada rentetan krisis politik Sabah sehingga menyebabkan penularan wabak Covid-19 pada kali ini.

“Sekali lagi DPIM menggesa agar pemimpin politik memikirkan keresahan dan kebimbangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mempunyai majoriti Dewan Rakyat yang tipis, perlu menumpukan masa, tenaga dan keringat beliau untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Usaha menjatuhkan Perdana Menteri, bermakna bakal menyebabkan pembubaran Parlimen, seterusnya Pilihan Raya Umum seluruh negara.

“Dengan keruncingan penularan Covid-19 hari ini, PRU adalah langkah yang bakal membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi negara,” katanya.

Katanya lagi, DPIM menyeru semua presiden parti politik untuk memberikan fokus mereka kepada penyelesaian isu rakyat, terutama membendung Covid-19.

“Terbukti bahawa seluruh barisan hadapan dan rakyat negara kita telah berjaya melandaikan penularan Covid-19 pada peringkat awal, sehingga diiktiraf antara negara terbaik di dunia dalam mengekang wabak ini.

“Jangan sia-siakan jasa dan pengorbanan rakyat yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara,” katanya. -Malaysiapost