Siti Sarah akui dipanggil SPRM untuk kerjasama

0
2

PENYANYI, Siti Sarah Raissuddin menjelaskan beliau dan suaminya, Shuib dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, hanya untuk memberi kerjasama kepada agensi itu.

Beliau berkata, kehadirannya ke Ibu Pejabat SPRM juga bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah syukur… kami dipanggil hanya untuk memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ringkas di Instagramnya.

Dalam hantaran sama, Siti Sarah juga memuatnaik dua fotonya dan Shuib dipercayai di perkarangan Ibu Pejabat SPRM.

Semalam, pasangan selebriti itu dipanggil SPRM selepas dipercayai terbabit dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air dijalankan mereka.

Difahamkan, pasangan itu hadir tengah hari semalam ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk diambil keterangan membabitkan kes tersebut.

Menurut sumber, setakat ini, siasatan masih dijalankan namun penglibatan pasangan selebriti tersebut tidak dapat dipastikan.

Jelasnya, selain mereka, beberapa individu termasuk selebriti lain yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit mungkin akan dipanggil.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan terdapat pasangan selebriti dipanggil pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. -Malaysiapost