UMNO perlu meninggalkan Perikatan Nasional (PN) apabila parlimen dibubarkan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri menegaskan buat masa ini Umno perlu menyokong kerajaan sedia ada bagi memerangi pandemik Covid-19.
“Sekarang ini kita sokong kerajaan untuk memerangi Covid-19. Kesihatan orang ramai adalah penting jadi kita harus sokong (kerajaan) sekarang.
“Kita hanya dengan PN dalam kerajaan (bukan pilihan raya umum),” katanya.
Pemimpin Umno sebelum ini tidak berpuas hati selepas jawatan Ketua Menteri Sabah diserahkan kepada Bersatu dan beberapa kubu kuat yang dimenanginya pada 2018 diserahkan kepada bekas pemimpin parti itu yang melompat menyertai Bersatu.
Mohamed Nazri berkata, perkara yang berlaku di Sabah kemungkinan akan berlaku semula pada PRU15 sekiranya Umno masih kekal dalam PN.
Beliau juga mengulanagi gesaannya agar semua kerusi yang dimenangi Umno dalam PRU14 perlu ditandingi parti itu.
“Kerusi Bersatu dulu adalah kerusi Umno. Mari PRU15 nanti, kita mungkin harus menyerahkan semua kerusi ini kepada Bersatu. Ini akan merugikan Umno,” katanya.
Seramai 15 anggota parlimen Bersatu pada masa ini merupakan mereka yang bertanding atas tiket Umno-BN pada PRU 2018 sebelum ini, telah menyertai Bersatu.
Umno menegaskan parti itu mahu bertanding di semua kerusi yang dimenanginya pada PRU 2018.
Bersatu memiliki sokongan yang lebih kecil berbanding Umno, yang pecah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad disingkirkan daripada parti itu.
Bekas Perdana Menteri itu yang merupakan salah seorang pengasas Bersatu, memberi amaran bahawa parti itu akan hancur jika bertanding melawan Umno dan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang. -Malaysiapost

