Isu kitab Injil: Polis rakam keterangan Nik Muhammad Zawawi

0
2

POLIS sudah merakam keterangan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mengenai kitab Injil di Dewan Rakyat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan Nik Muhammad Zawawi itu direkod Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman pada 18 September lalu.

Katanya, polis menerima 22 laporan berhubung isu terbabit di seluruh negara, setakat ini.

“Kertas siasatan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Sarawak pada pertengahan bulan lalu untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada seperti dilapor BH. 

Pada 10 September lalu, polis Sarawak dilaporkan menerima 16 laporan berkaitan kenyataan Nik Muhammad Zawawi itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh berkenaan menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat dipetik berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Nik Muhammad Zawawi kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Ahli Parlimen Pasir Puteh bagaimanapun ketika itu, mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil ‘dipesongkan atau diubah’. -Malaysiapost