MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan seorang exco negeri itu disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Ya (seorang exco disahkan positif),” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.
Media melaporkan bahawa exco berkenaan yang baru pulang dari Kota Kinabalu itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut mulai semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut mengesahkan seorang exco negeri itu yang tidak dinamakan sebagai positif Covid-19.
Pengarahnya, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jabatan itu sedang mengesan kontak rapat exco berkenaan termasuk anggota keluarganya dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Setakat ini, hanya exco berkenaan sahaja yang disahkan positif pandemik terbabit. Tiada Exco lain yang dijangkiti,” katanya.
Difahamkan, exco itu juga adalah kontak rapat kepada pembantunya yang turut disahkan positif Covid-19 kelmarin.
Kedah hari ini mencatatkan 98 kes baru Covid-19 melibatkan 45 warganegara dan 53 bukan warganegara serta penambahan satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Bah Ketil dikesan di Baling dan Langkawi. – Malaysiapost
Gambar Kredit UPDA

