Shahrir Samad tunggu laporan ‘Task Force’

0
2

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggesa laporan ‘Task Force’ atau Pasukan Khas agensi tersebut dibentang secepat mungkin.

Ia susulan satu media melaporkan semalam, bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed telah mengatakan laporan Pasukan Khas berkenaan dalam menangani isu Felda telah siap untuk dibentangkan kepada Kabinet di Parlimen dalam masa terdekat.

Shahrir berkata, namun 17 bulan lalu, ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membentangkan Kertas Putih mengenai Felda di Dewan Rakyat.

Katanya, ketika membentangkan Kertas Putih itu, Mohamed Azmin yang terkenal gayanya yang ‘bombastic’ mengguna perkataan besar seperti ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan korporat pada akhir ucapannya itu.

Menurutnya, Mohamed Azmin telah mengatakan pelan transformasi dan hala tuju Felda akan diberi tumpuan kepada penambahbaikan tadbir urus, penstrukturan dan pengukuhan kewangan dan operasi.

“Ini cakap menteri kerajaan PH 17 bulan dulu,” katanya.

Beliau berkata, sekarang kerajaan sudah bertukar kepada Perikatan Nasional (PN) dan Mohamed Azmin masih juga lagi menteri.

“Sekarang sudah jadi tanggungjawab Mustapa dengan bantuan Tan Sri Wahid Omar (Pengerusi Pasukan Khas Felda), seorang bekas menteri Barisan Nasional (BN).

“Saya juga Pengerusi Felda selama 17 bulan, iaitu dari Januari 2017 hingga Mei 2018.

“Selepas enam bulan, orang Umno macam saya boleh menambahkan keyakinan bank utama negara sedia menguruskan sukuk untuk Felda. Sukuk tanpa jaminan kerajaan, pulak tu,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, bank yakin kepada Felda semasa dia menjadi pengerusinya kerana sudah ada tadbir urus yang baik dalam masa yang singkat.

“Ini, Mohamed Azmin dan Mustapa, dua tokoh PH dan kemudian PPBM-PN, baru hendak siap laporan Task Force Felda?

“Selama 17 bulan selepas Kertas Putih, 29 bulan selepas PRU-14, Tak ada jaminan kerajaan, Felda tak bolih buat sukuk?

“Saya tunggu nak baca laporan Task Force Felda yang dipimpin oleh menteri PPBM-PN,” katanya. -Malaysiapost