BELUM sempat menikmati untung jualan air ketum sudah ditangkap polis.
Itulah nasib seorang lelaki yang ditahan selepas selesai membungkus 175 air ketum bernilai RM1,500 di Padang Serai, Kulim, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata serbuan jam 2.10 petang semalam oleh sepasukan enam anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dibuat berdasarkan maklumat dan risikan.
Katanya, pemeriksaan menemui 175 bungkusan plastik lut sinar disyaki air ketum dianggarkan sebanyak 105 liter.
“Turut dirampas dua plastik hitam berisi daun ketum, sebuah periuk besar, sebuah dapur gas dan sebuah tong gas.
“Berikutan itu, lelaki berusia 38 tahun itu dibawa ke pejabat Narkotik di IPD Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azhar berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -Malaysiapost


