Shaheizy Sam jalani kuarantin pulang dari Sabah

0
2

Nurul Huda Abhar

SETELAH selesai berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pelakon, Shaheizy Sam mengakui perlu menjalani kuarantin sejurus tiba di Kuala Lumpur.

Pelakon itu juga terpaksa membatalkan pelancaran produk terbaharu yang sepatutnya diadakan semalam, berikutan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seperti yang semua tahu, saya kini ada di Sabah dan akan kuarantinkan diri selepas sampai di Kuala Lumpur nanti.

“Saya memohon maaf kepada semua yang menerima jemputan kerana terpaksa menangguhkan terlebih dahulu majlis yang sepatutnya berlangsung pada hari Isnin hingga diberitahu kelak.” katanya menerusi satu video di laman Instagram, semalam.

Isterinya yang juga pelakon, Syatilla Melvin menerusi Instagramnya turut memohon maaf atas penangguhan pelancaran produk itu.

https://www.instagram.com/p/CFoXD0OnfER/?igshid=1hw33jomck24w

“Sepatutnya hari ini merupakan majlis pelancaran produk kami, namun Sam terpaksa dikuarantin dan kita semua perlu ikut SOP yang telah ditetapkan.

“Jadi, kita tukar dan bawa kepada sesi siaran langsung Instagram pada malam ini,” ujarnya.

Difahamkan, pasangan itu mengeluarkan produk terbaharu, Pengaseh, yang sepatutnya dilancarkan di Damansara, semalam.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan pelakon itu turut membantu kempen Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga abang iparnya pada PRN Sabah lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan Ahad lalu, memaklumkan semua individu yang pulang dari Sabah perlu menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa.

Ia merupakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari negeri terbabit bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu berkenaan. – Malaysiapost