Fitri Nizam
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmennya untuk menunai dan melaksanakan apa yang dijanjikan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bercakap pada sidang media khas di kediamannya, Muhyiddin memanjatkan rasa syukur apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperoleh 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Katanya, kemenangan itu membuktikan rakyat Sabah memberi keyakinan terhadap calon GRS.
“Saya memberikan komitmen bersungguh-sungguh bahawa kerajaan negeri yang akan dibentuk dengan seberapa segera ini akan mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan yang saya pimpin.
“Apa yang saya nyatakan waktu saya berada di Sabah sepanjang waktu kempen itu, Insya-Allah akan kita tunaikan dan laksanakan dengan seberapa segera,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon GRS yang menang pada pilihan raya semalam dan menasihatkan mereka supaya memikul tanggungjawab diberikan dengan amanah, berintegriti dan berdedikasi.
“Inilah masanya untuk anda semua mencurah khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat dan membuktikan kita sebenar-benarnya adalah prihatin kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dengan sokongan dan dokongan daripada pimpinan baharu bersama rakyat, Sabah akan menjadi sebuah negeri yang cemerlang mencapai kemajuan lebih besar di masa hadapan.
GRS sah membentuk kerajaan baharu tepat jam 12 tengah malam tadi selepas memperolehi 38 kerusi, manakala Warisan Plus memperoleh 32 kerusi dan Bebas tiga kerusi DUN.
Berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) 14 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tujuh kerusi.
Warisan Plus pula, Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi termasuk enam DAP, diikuti PKR dua kerusi dan satu kerusi dimenangi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
Tiga kerusi selebihnya dimenangi calon Bebas iaitu di DUN Pitas, Kuamut dan Kemabong. – Malaysiapost

