Perbincangan siapa Ketua Menteri bermula

0
2

PEMIMPIN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilaporkan telah mula bermesyuarat bagi memuktamadkan siapa calon Ketua Menteri.

Mesyuarat yang bermula tengah hari ini di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu dihadiri pemimpin utama Barisan Nasional (BN) Sabah, Perikatan Nasional (PN) Sabah serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Sebelum ini, calon Ketua Menteri mewakili GRS yang disebut-sebut adalah antara Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

GRS menang 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, sekali gus mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter memaklumkan ketua parti dari GRS dijangka mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin petang ini.

“Semua 41 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS Plus bertemu mesra buat pertama kali hari ini.

“Ketua parti dari Umno, Bersatu dan PBS akan mengadap TYT  hari ini juga, insya-Allah,” katanya.

Difahamkan, 41 Adun tersebut termasuk tiga wakil rakyat Bebas yang menang PRN semalam. – MalaysiaPost