Ketua Menteri: BN calonkan Bung, PN Hajiji dan PBS mahu jawatan timbalan

0
2

Aiman Hanif

SIAPA bakal Ketua Menteri Sabah yang baharu akan terjawab esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Menurut sumber, BN mencalonkan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin manakala Perikatan Nasional (PN) mencalon Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/ BN, tandatangan akuan bersumpah (SD) mahukan Bung Moktar sebagai Ketua Menteri.

“Manakala, 27 Adun PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tiga Adun Bebas, tandatangan SD, mahukan Hajiji sebagai Ketua Menteri,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu petang tadi, ketua-ketua parti dipanggil mengadap Yang di-Pertua Negeri bagi mengemukakan calon Ketua Menteri Sabah.

Bung Moktar ketika ditemui media berkata Yang di-Pertua Negeri memohon sedikit tempoh masa bagi memutuskan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah membabitkan PN, BN dan PBS menang 38 kerusi dan mendapat sokongan tiga calon Bebas bagi membentuk kerajaan sekaligus menggantikan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu sumber memaklumkan PBS mahukan wakilnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah jika mahukan sokongan mereka.

“PBS mahukan jawatan Timbalan Ketua Menteri diberikan kepada mereka jika mahukan parti itu terus menyokong GRS.

“PBS cuba menjadi ‘king maker’ dan ini pasti akan merumitkan keadaan jika BN tidak mahu bertolak,” katanya lagi. – Malaysiapost.