PARTI Cinta Sabah (PCS) tetap berbangga di sebalik kegagalan meraih sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, kata Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman.
Anifah yang turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan berkata PCS hanya sebuah parti yang sangat baru, iaitu tidak sampai dua bulan.
“Kita masih mendapat sokongan dalam bentuk undi walaupun tidak menang. Nombor yang kecil, tetapi cukup untuk sebuah parti baru dalam perjuangan yang panjang.
“Cuba bayangkan kalau ada masa persediaan yang cukup, saya percaya PCS mampu meraihkan lebih sokongan.
“Bagaimanapun, saya sebagai Presiden PCS berharap, walau apa pun terjadi, jangan berhenti daripada terus memperjuangkan hak-hak anda sebagai anak Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau juga meminta calon-calon PCS supaya mengambil iktibar daripada pengalaman PRN ini sebagai pengajaran untuk berdepan cabaran pilihan paya masa depan.
“Pengalaman seperti ini sangat penting untuk kita menilai kekurangan dan juga kekuatan kita. Dan percayalah, PCS akan terus bersama anda dalam perjuangan tersebut.,” katanya. – Malaysiapost

