Covid-19: Penumpang 2 bas ekspres diminta tampil

0
2

PENUMPANG dua bas ekspres iaitu
JetBus dan Rhinoairiel diminta menghubungi Jabatan Kesihatan Kuantan dengan segera.

Ia membabitkan penumpang JetBus dari KLIA2 ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 18 September, dan Rhinoairiel Ekspres dari TBS ke Kuantan pada 19 September.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, berkata ia berikutan seorang penumpang dilaporkan dari Sabah telah menaiki dua bas berkenaan dan disahkan positif Covid-19.

“Bagi perjalanan KLIA2-TBS, ia melibatkan JetBus yang memulakan perjalanan pada jam 11.30 malam, 18 September dan tiba di TBS sejam kemudian.

“Bas TBS ke Kuantan pula dikendalikan Rhinoairiel Ekspres yang memulakan perjalanan jam 2 pagi dan tiba jam7.30 pagi pada 19 September,” kata kenyataan itu.

Justeru, PKD Kuantan meminta mereka yang terlibat menghubungi jabatan di talian 09-565 9213 atau 019-399 4832.

Kuantan merupakan kawasan yang merekodkan peningkatan jangkitan melibatkan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Difahamkan, penumpang itu berada di Semporna, Sabah sejak 28 Ogos hingga 18 September atas urusan kerja dan menaiki bas awam dari Semporna ke Lapangan Terbang Tawau pada 18 September.

Dia menaiki pesawat AK 5747 Air asia dan tiba di KLIA2 pada jam 10.15 malam. -Malaysiapost