ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencontohi Tun Dr Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatan selepas tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Dr Mahathir melepaskan jawatan sebaik menyedari tidak lagi mendapat kepercayaan dalam kalangan Ahli Parlimen, akhir Februari lalu.
“Pendedahan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan ada Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) kini memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.
“Muhyiddin perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri secara terhormat setelah terbukti hilang sokongan majoriti.
“Beliau perlu mencontohi mantan Perdana Menteri yang meletak jawatan bagi membolehkan pihak istana melakukan proses berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Badli Shah berkata, pengumuman Anwar yang mendakwa mempunyai sokongan mencukupi, menunjukkan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan.
“Justeru Muhyiddin perlu meletakkan jawatan dengan cara terhormat bagi memudahkan proses transisi kerajaan,” katanya.
Kelmarin, Anwar mendakwa memperoleh jumlah yang kukuh untuk membentuk kerajaan selepas sejumlah Ahli Parlimen memberikan sokongan kepadanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu sepatutnya mempersembahkan nama-nama tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong namun pertemuan tersebut tetapi ditangguhkan apabila baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malaysiakini

