BELUMPUN reda kontroversi mengenai insiden di Tanduo, Lahad Datu, tular lagi ucapan Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa kes Covid-19 di pantai timur Sabah adalah palsu.
Dalam video ketika berkempen di DUN Segama, Mohamaddin mendakwa kawasan timur Sabah dikategorikan sebagai zon merah kerana ia kubu kuat Parti Warisan Sabah (Warisan).
Mohamaddin dalam ucapan itu didakwa berkata:
“Dia bilang (cakap) ini kawasan bahaya, pasal dia bilang Covid. Bukan Covid, dikasih merah oleh kerana mereka itu takut kalah sama (kepada) Warisan.
“Jadi, merah itu bahaya untuk mereka, bukan bahaya untuk kita. Jadi, kita jangan percaya,” katanya.
Dalam ucapan itu, Mohamaddin turut mendakwa beliau menerima maklumat beberapa hari sebelum 26 September ini akan ditularkan dakwaan Covid-19 sangat serius di kawasan Silam, Lahad Datu, Segama, Tungku dan sebagainya.
Selain itu, katanya, ada dakwaan pada hari mengundi ada pihak yang diupah untuk berpura-pura pengsan ketika mengundi kononnya kerana pandemik itu, bagi menakutkan rakyat keluar mengundi.
“Kalau kamu nampak ada orang pengsan di situ, bagus kamu tendang pijak dia. Bukan Covid itu wayang mereka, sandiwara.
“Jadi kononnya datang ambulans pergi mengangkat (pesakit), jadi orang bertempiaran lari pasal itu Covid,” katanya.
Mohamaddin turut mendakwa cara itu untuk menakutkan orang Cina kerana pihak lawan sedar ramai penyokong Warisan di kalangan pengundi Cina.
Isnin lalu, satu video mengenai ucapan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu tular yang mendakwa insiden di Tanduo, Lahad Datu adalah peperangan dengan ‘ayam’ dan ‘anjing’.
Selepas menerima kecaman pelbagai pihak, Mohamaddin membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa dia tidak berniat menghina pasukan keselamatan, sebaliknya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah secara mutlak.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memohon maaf kepada seluruh pasukan keselamatan atas kenyataan dibuat Mohamaddin.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, polis akan memanggil Ahli Parlimen Silam itu selepas PRN bagi merekodkan keterangan berhubung kenyataan itu. -Malaysiapost

