Kes samun barang kemas KL, Ipoh mungkin sama – Polis

0
1

POLIS tidak menolak kemungkinan kes samun barang kemas dan wang tunai bernilai RM3 juta di Lebuhraya Besraya, Kuala Lumpur dan samun emas bernilai RM1 juta di Ipoh, Perak pada 4 Ogos tahun lalu, dilakukan kumpulan sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata ketika ini, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan daripada setiap sudut termasuk mengenal pasti modus operandi dua kes berkenaan.

“Kes samun kelmarin masih dalam siasatan. Ada sedikit persamaan kes ini dengan kejadian samun di beberapa negeri lain seperti Ipoh, Perak sebelum ini.

“Kita harus membuat perancangan bijak supaya dapat mencegah kegiatan jenayah berkenaan secara lebih efektif,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau berkata, pihaknya mungkin akan jalankan operasi khas dengan bantuan serta kerjasama peniaga emas dan pengurup mata wang asing bagi memastikan isu berbangkit tidak berulang.

Semalam, polis dilaporkan merekodkan lapan keterangan saksi berhubung kes samun kenderaan pacuan empat roda, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM3 juta yang berlaku di Lebuhraya Besraya berhampiran Sungai Besi. -Malaysiapost