KERAJAAN Kedah tidak berhasrat menyambung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar selepas 25 September ini, kata Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan merujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terlebih dahulu sebelum membuat cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada untuk meneruskan atau menamatkan PKPD Secara Pentadbiran.
Kata beliau, jika ada penduduk yang dikuarantin di daerah itu positif Covid-19 selepas saringan hari ke-13, kemungkinan PKPD Secara Pentadbiran disambung seperti mana berlaku di Zon Melor, Amanjaya, baru-baru ini.
“Kita sebenarnya tidak berhasrat memberi cadangan untuk menyambung PKPD Secara Pentadbiran di Kota Setar kepada MKN kerana memahami kesukaran dan tekanan yang dihadapi rakyat serta barisan hadapan.
“Namun, selagi kita tidak ada vaksin, hanya itulah cara untuk mengekang penularan wabak ini, dengan melaksanakan PKPD, selain mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mengingatkan pembangkang negeri itu tidak menggunakan isu berkaitan PKPD Secara Pentadbiran sebagai modal politik murahan untuk menghentam kerajaan negeri.
“Janganlah guna PKPD ini untuk raih laba politik dan burukkan orang, tidak ada sesiapa pun dalam kerajaan yang mahu PKPD ini berlaku, kita semua dalam usaha melakukan yang terbaik,” katanya.-Malaysiapost

