SABAH menjadi penerima terbesar pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan anggaran kos RM2.45 bilion bagi meningkatkan kemudahan jalur lebar di negeri itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh penduduk di Sabah setanding dengan kemudahan yang disediakan di negeri lain.
Jelasnya menerusi pelaksanaan inisiatif JENDELA, rakyat Sabah akan mendapat capaian jalur lebar yang lebih meluas bermula pada hujung tahun ini sehingga 2022.
“Sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaikkan taraf kepada 4G.
“Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang membabitkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah.
“Inisiatif JENDELA di Sabah dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM2.45 bilion,” katanya pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah di Kota Kinabalu, malam ini.
Gerbang Sabah yang dilancarkan malam ini adalah titik sambungan Internet antara Sabah dan seluruh dunia yang akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan Sabah.
Muhyiddin berkata, peningkatan kemudahan jalur lebar di Sabah dapat dimanfaatkan untuk memajukan kehidupan dan memakmurkan negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau percaya masih ada rakyat yang memerlukan bimbingan untuk menjadi warga digital yang produktif.
“Sehubungan itu, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di Sabah.
“Antara bimbingan yang akan diberikan ialah bagaimana untuk menjana pendapatan menerusi e-dagang, iaitu urusan jual beli dalam talian.
“Menerusi Internet, sesiapa sahaja boleh berniaga dari mana-mana lokasi. Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah dropship,” katanya.
Katanya Pusat Internet Komuniti sedia ada pula akan menjalani proses perubahan dengan peruntukan RM13 juta.
Pusat itu, katanya akan diperkasa agar menjadi tempat untuk membangunkan kemahiran penggunaan internet dan e-dagang, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu hasil peningkatan aktiviti e-dagang serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan atas talian bagi memudahkan rakyat setempat.- Malaysiapost

