Fitri Nizam
TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan setuju meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.
Perdana Menteri berkata ia membabitkan peruntukan RM21.1 juta yang memanfaatkan 7,581 nelayan.
“Saya ingin ingatkan, sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Warisan sebahagian daripada PH.
“Di waktu itu, elaun sara hidup nelayan dipotong dari RM300 kepada RM250.
“Hari ini saya umumkan, kita kembalikannya semula,” katanya ketika melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, Beaufort.
Muhyiddin berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan penting untuk memastikan ekonomi negara dan rakyat tidak terjejas teruk akibat pandemik yang melanda.
“Sebagai sebuah kerajaan prihatin, Kerajaan Perikatan Nasional bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara tanpa mengambil kira perbezaan politik, ekonomi dan sosial,” katanya.
Beliau turut menyifatkan golongan peladang, penternak dan nelayan sebagai ‘hero tidak didendang’ kerana sumbangan mereka memastikan bekalan makanan tidak terputus ketika wabak Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, golongan itu juga petugas barisan hadapan dalam usaha meneruskan aktiviti penanaman, penternakan dan perikanan.
“Terima kasih dan syabas saya ucapkan. Pengorbanan anda semua amat besar nilainya kepada negara dalam memastikan kita sentiasa mendapat bekalan makanan yang cukup.
“Adalah menjadi perhatian utama saya juga untuk menentu dan memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin dalam menghadapi apa juga krisis supaya tiada rakyat Malaysia ditinggalkan,” katanya. – Malaysiapost

