Kemelut rumah tangga Sharnaaz, Noor Nabila selesai

0
2

PELAKON, Sharnaaz Ahmad dan bekas isteri, Noor Nabila Mohd Noor mencapai kata sepakat apabila bersetuju dengan tuntutan yang ditermeterai dalam satu perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Penyelesaian beberapa tuntutan yang ditermeterai melalui satu surat yang ditandatangani kedua-dua pihak pagi ini adalah membabitkan nusyuz, nafkah idah dan hadanah (hak penjagaan anak).

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Noor Nabila, 36, selaku plaintif mengemukakan kepada Sharnaaz, 35, selaku defendan yang bersetuju untuk memberi nafkah idah RM500 selama tiga bulan.

“Selain itu, pihak Sharnaaz bersetuju untuk memberi RM1,200 sebulan untuk nafkah anak, selain permohonan nusyuz yang difailkan defendan dibatalkan termasuk kebenaran kepada defendan berjumpa anak.

“Nabila turut bersetuju mengenepikan tuntutan mutaah melainkan sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur yang dipindah milik kepadanya.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju memberi keutamaan kepada kebajikan anak,” katanya.

Hak penjagaan anak turut diberikan kepada Nabila.

Bagaimanapun, terma-terma secara terperinci tidak didedahkan.

Pada masa sama, peguam Sharnaaz, Umi Kartini Abd Latif mengesahkan dan bersetuju dengan terma dikemukakan pihak plaintif dan turut bersetuju dengan permohonan nusyuz yang difailkan defendan dibatalkan.

Dalam pada itu, selepas terma-terma dibaca, Mohamed Fauzi kemudian bertanya kepada kedua-dua pihak sama ada mereka bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Kedua-duanya memaklumkan mereka bersetuju secara sukarela dan tiada paksaan.

Sementara itu, Noor Nabila ketika ditemui selepas prosiding, lega kerana dia dan Sharnaaz tidak perlu hadir ke mahkamah lagi.

“Alhamdulillah, saya lega… semuanya selesai. Selepas ini tidak perlu lagi ke datang mahkamah, Insya-Allah hari ini hari terakhir saya datang,” katanya.

Katanya lagi, mereka berdua akan teruskan hubungan baik sebagai kawan demi anak.

Sharnaaz pula melahirkan rasa syukur dan kini fokus kepada anak tunggalnya.

“Kami akan menjaga hubungan baik sebagai kawan kerana sebelum kahwin pun, kami memang berkawan cuma yang penting sekarang adalah Jebat,” katanya.

Pasangan itu bernikah 31 Mac 2017 di Hotel Royale Chulan, Damansara dan bercerai secara pada 9 Julai lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden Ahmad, 2 tahun. – Malaysiapost