2 lelaki ‘wanted’ di Amerika Syarikat diberkas di Perak

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

DUA lelaki yang terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan jenayah komputer di Amerika Syarikat (AS) diberkas polis, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tangkapan suspek berusia 30-an dan 40-an itu dibuat pada jam 8.45 pagi di Perak.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 40-an itu adalah ahli perniagaan, manakala seorang lagi bekerja sebagai juru analisa komputer.

“Pihak berkuasa AS telah menghantar permohonan ekstradisi terhadap suspek berkenaan pada 3 September lalu dan Jabatan Peguam Negara bersetuju melaksanakan permohonan itu.

“Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap sementara ke atas mereka pada 11 September lalu yang membolehkan kita menahan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti kid dan kredit secara tidak sah.

Katanya, pihak forensik sudah membuat rampasan bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka.

“Kedua-dua suspek direman selama 60 hari mengikut Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 1992 serta Artikel 11(4) Triti Ekstradisi antar kerajaan dengan kerajaan AS.

“Mereka kini direman di Penjara Sungai Buloh, Selangor,” katanya.- Malaysiapost