Fitri Nizam
Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff akan mengambil tindakan perundangan terhadap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang didakwa memfitnah dirinya di Facebook.
Beliau berkata, tindakan saman itu akan difailkan hari ini atas nasihat peguamnya.
“Saya dinasihatkan oleh peguam saya supaya menyaman Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang mengecam dan memfitnah saya di dalam posting (hantaran) Facebook beliau hari ini.
“Tindakan itu dilakukan semata-mata kerana saya memuatnaik satu posting (hantaran Facebook) yang sekadar bertanya ‘Tunggang Agama Untuk Menang PRN?’ bersama-sama satu poster majlis beliau di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan kecaman dan fitnah terbabit, pengikut pemimpin DAP itu telah menghujani laman Facebook miliknya dengan pelbagai komen negatif.
“Saya akur dengan nasihat peguam saya dan akan memulakan tindakan perundangan ke atas Hannah Yeoh pada hari ini juga,” katanya.
Dr Kamarul berkata antara lain, kecaman dan fitnah Yeoh terhadap dirinya seperti berikut:
“Sekali lagi pensyarah UUM ini mahu mainkan sentimen politik perkauman dan agama. Ianya jelas dalam pelbagai kenyataan dan tulisannya yang beliau begitu bencikan DAP. Jangan lupa, pensyarah yang sama jugalah yang mengkritik buku saya ‘Becoming Hannah’ dan takut berdepan Tun Mahathir dalam forum anjuran Sinar Harian suatu waktu dulu.”
“Bagi saya inilah satu-satunya ‘modal’ yang masih berbaki untuk dirinya – perkauman dan isu agama – yang telah biasa beliau gunakan di Semenanjung.
Malang buat diri beliau, ini adalah Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang begitu meraikan dan menghormati kepelbagaian. Sentimen yang beliau mainkan bukan sahaja tidak diterima di Semenanjung dan kini di Sabah juga,” katanya. -Malaysiapost

