MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sedia berdepan saman Datuk Tamrin Ghaffar berhubung isu kontrak sisa pepejal di Taman Beringin yang dibuat secara rundingan terus.
“Jika dia nak bawa ke mahkamah, kita bersedia (berdepan saman),” katanya dipetik dari laporan Free Malaysia Today.
Terdahulu, Tamrin yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba berhasrat memfailkan saman terhadap Zuraida.
Beliau dilaporkan berkata projek tersebut dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Zuraida pada 28 Ogos menggambarkan seolah-olah projek tersebut diberikan secara runding terus oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada syarikat atas dasar penglibatan saya dalam syarikat itu.
“Untuk makluman projek tersebut diberi secara runding terus oleh kerajaan BN yang mana Menteri KPKT ketika itu ialah Tan Sri Noh Omar,” katanya.
Sebelum ini, Zuraida mendakwa Tamrin, selaku penasihat syarikat Bumi Segar Indah, bertemu Guan Eng untuk berbincang dan berunding secara terus bagi projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara pada 26 November 2018.
Zuraida mendakwa Guan Eng menasihati Bumi Segar Indah supaya menghantar cadangan formal dan akhirnya memberikan persetujuan berhubung projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019.

