Tiada kuarantin untuk rakyat Sabah ke Semenanjung

0
1

RAKYAT Malaysia di Sabah dan Sarawak yang mahu ke Semenanjung masih bebas bergerak dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata laporan yang mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan mereka yang dari Sabah ke Semenanjung perlu menjalani kuarantin, adalah tidak benar.

Katanya, kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini cuma berlaku dalam penjara di Tawau, sementara daerah lain berada dalam zon hijau.

“Itu berita palsu. Sabah, Semenanjung dan Sarawak masih bebas seperti dulu. Kalau ada pengumuman mengenai kawalan, ia akan dibuat oleh saya.

“Kalau ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya juga (umum). Kalau ada sekatan perjalanan, saya juga. 

“Setakat ini tak betul, ‘don’t worry’ (jangan bimbang),” katanya dalam sidang media di Sandakan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM juga sedang memantau perkembangan dan akan mengumumkan jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di luar penjara.

Katanya, tiada yang perlu dibimbangkan kerana kes yang direkodkan berlaku dalam kawasan terkurung.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditanya mengenai cadangan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri berkata, ia cuma akan dibincangkan jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, pucuk pimpinan parti sudah menjelaskan bahawa UMNO perlu memenangi PRN dahulu sebelum perkara mengenai calon ketua menteri dibincangkan.

“Jangan kita kecoh untuk rebut (jawatan) ketua menteri, akhirnya kita tidak menang dalam pilihan raya.

“Yang penting adalah menumbangkan Kerajaan WARISAN ini dan kembalikan BN (Barisan Nasional) serta rakan komponen dan parti lain,” katanya.-Malaysiapost