PARTI Cinta Sabah (PCS) tetap berpegang kepada misi dan visi untuk memperjuangkan hak serta keistimewaan Sabah jika diberi mandat untuk membentuk kerajaan Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman, berkata hak dan keistimewaan itu termaktub dalam perundingan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (IGC62), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Malaysia.
Katanya, bagi tujuan itu, PCS perlu memastikan calonnya terdiri daripada golongan cerdik, berani dan berkebolehan.
“Mereka telah dipilih dengan teliti berdasarkan kebolehupayaan masing-masing untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Calon kita adalah gandingan golongan berpengalaman dan mereka yang muda tetapi berbakat dan boleh diasuh serta dilatih untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Mereka juga terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa di Sabah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau selepas mengumumkan calon parti itu, semalam.
PCS bertanding di semua 73 kerusi dengan Anifah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, salah satu DUN dalam Parlimen Kimanis yang pernah disandangnya sebelum ini.
Bekas Menteri Luar itu berkata, sejak penubuhan Persekutuan Malaysia hingga hari ini, rakyat Sabah sudah lama berjuang bagi mendapatkan hak yang dijanjikan kepada negeri itu.
“Kita tahu bukan senang bagi pemimpin Malaya, Brunei dan Singapura pada ketika itu hendak ‘memujuk’ kita bagi membentuk Malaysia.
“Pemimpin Sabah pada masa itu bersetuju dengan aspirasi merdeka melalui Malaysia, namun demikian, mereka memastikan hak rakyat Sabah akan sentiasa terjamin melalui MA63 yang ditandatangani di London.
“Malang sekali, hari ini kita tahu rakyat Sabah tidak mendapat semua hak dan keistimewaan yang dipersetujui ketika perundingan antara kerajaan pada 1962,” katanya.
Malah, katanya, sedikit demi sedikit, hak dan keistimewaan dijanjikan itu dihakis oleh pemimpin dari Kuala Lumpur, malah hasil minyak dan gas diambil dan Sabah hanya mendapat wang tunai lima peratus sebagai balasan.
Katanya, semua hasil kerajaan Persekutuan di Sabah dikaut terus dan kerajaan Sabah hanya diberi sedikit, walaupun sudah termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Malaysia bahawa Sabah sepatutnya mendapat 40 peratus hasil.
“Sabah sendiri ditadbir oleh pelbagai parti politik termasuk parti-parti Malaya yang telah secara langsung atau tidak langsung menghakis hak dan keistimewaan kita.
“Pelbagai hak dan keistimewaan kita belum lagi dilaksanakan sepenuhnya mengikut apa yang dipersetujui ketika perundingan pembentukan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, katanya, rakyat Sabah harus tahu apakah manifesto PCS bagi membantu mereka membuat keputusan terbaik ketika hari mengundi nanti.
Manifesto itu akan dilancarkan dalam masa terdekat melalui laman Facebook rasmi PCS.
“Perjuangan saya ini bukan sehari dua sebaliknya sudah lama berlaku tanpa memandang wang ringgit mahupun pangkat. Saya telah berjuang sejak zaman saya dalam Barisan Nasional (BN) lagi.
“Saya tidak takut kehilangan jawatan walaupun ada lagi pemimpin Sabah lain dalam parti ketika itu,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, dalam forum yang dilaksanakan pada 2015, beliau memanggil semua pemimpin Sabah, termasuk dari parti pembangkang untuk sama-sama memperjuangkan hak serta keistimewaan Sabah.
“Adalah menjadi harapan saya agar parti tempatan bersatu dan bekerjasama bagi menuntut hak dan keistimewaan rakyat Sabah yang masih lagi sehingga hari ini tidak dilaksanakan,” katanya.

