PRN Sabah: BN, PN, PBS bertembung di 11 kerusi

0
2

SERAMAI 84 calon bakal bertanding mewakili gabungan Barisan Nasionl (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk merebut 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Ini bermakna, sebanyak 11 kerusi berlaku pertembungan sesama calon dalam gabungan itu bagi merebut kerusi sama.

Keadaan itu menggambarkan rundingan agihan kerusi dalam gabungan itu gagal mencapai kata sepakat, menyebabkan ada kerusi ditandingi dua calon mewakili kumpulan sama.

Itu rumusan yang dapat dilihat selepas semua parti dalam BN, PN dan PBS mengumumkan kerusi yang ditandingi dan calon masing-masing, semalam.

BN bertanding paling banyak kerusi dengan 40 kawasan, masing-masing 31 ditandingi Umno, diikuti lima oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan empat MCA.

PN pula bertanding 29 kerusi, 19 Parti ditandingi Bersatu, diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS, satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN pula bertanding di 15 kerusi.

Jumlah keseluruhan calon berdasarkan jumlah kerusi bagi setiap parti ialah 84, berbanding jumlah kerusi yang ada sebanyak 73 kawasan.

Semakan mendapati kerusi paling banyak bertembung ialah yang ditandingi PBS.

Calon parti itu bertembung dengan calon Umno di Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid, manakala dengan PBRS di Matunggong, Tandek dan Kadamaian selain bertembung calon MCA di Kapayan dan Karamunting.

Selain itu, calon Umno bertembung dengan Star di Paginatan, manakala PBRS bertembung dengan Star di Sook dan Tulid.

Difahamkan, masih ada kerusi yang dijangka berlaku pertembungan sesama BN, PN dan PBS menjelang penamaan calon esok.

Antara yang disebut-sebut ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, calon PBS di kerusi itu mungkin bersaing dengan calon BN Umno untuk menentang Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Ia berikutan spekulasi mengatakan penyandang kerusi DUN Kemabong, Jamawi Jaafar akan bertanding atas tiket BN di kerusi itu.

Jamawi adalah antara wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti untuk menyertai Warisan yang membolehkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membentuk kerajaan dan menjadi Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Beliau kemudian meninggalkan Warisan untuk menyokong cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengambil alih kerajaan pada akhir Julai lalu.

Nama beliau tidak diumumkan pada sidang media pengumunan calon Umno oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.

Kerusi DUN Kemabong ditandingi Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Raime Unggi.

Ketika mengulas isu pertembungan sesama parti itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku dan wajar diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Ini bermakna, parti yang bertembung sesama sendiri ada masa sehingga awal pagi esok untuk berunding sebelum mengemukakan kertas pencalonan masing-masing. – Malaysiapost