BADAN pengurusan air akan diwujudkan di Wilayah Persekutuan, bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan itu telah dibawa pada mesyuarat Kabinet hari ini dan kajian mengenainya kini dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Saya fikir kita tidak harus selamanya bergantung kepada pengurusan air di negeri Selangor.
“Untuk jangka panjang (Wilayah Persekutuan) perlu ada pengurusan air sendiri,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau ditemui selepas menghadiri program Bubur Asyura di Surau An-Najah, di Putrajaya, semalam.
Menurut Annuar, pelbagai manfaat akan diperoleh sekiranya Wilayah Persekutuan mempunyai badan pengurusan air sendiri.
“Dengan adanya badan ini, kami boleh menguruskan konsesi air sendiri malah membeli air mentah atau memproses air kerana di Wilayah Persekutuan banyak sumber air seperti tasik dan sungai,” katanya.
Pada 3 September lalu, loji rawatan air (LRA) dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor, membabitkan LRA Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang.
Gangguan bekalan air tidak berjadual ini melibatkan 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – Malaysiapost

