BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa dua pertuduhanan yang bakal dihadapinya Jumaat ini, bermotifkan politik.
Katanya, pendakwaan itu berlangsung sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan Sabtu ini.
“Jelas dengan sendirinya sebelum ini menerusi akhbar menyatakan saya akan didakwa lagi sedangkan saya belum menerima apa-apa makuman dari SPRM.
“Tetapi SPRM bocorkan maklumat ini kepada media massa. Jelas ini tindakan untuk mengganggu saya berkempen di Sabah.
“Tindakan membocor kepada media tanpa memberitahu saya terlebih dahulu nyata bermotifkan politik,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Setiausaha Agung DAP itu sebelum itu hadir bagi sebutan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.
Guan Eng sekali lagi menegaskan beliau tidak menerima suapan bagi kes itu.
“Wang suapan tiada dalam akaun bank saya, tiada dalam milikan saya dalam bentuk wang tunai. Tiada cincin, tiada jam tangan.
“Itu menunjukkan tuduhan itu tidak berasas. Projek ini dibuat secara tander terbuka. Ia bukan diputuskan oleh saya tetapi Lembaga Perolehan Negeri,” katanya.
Terdahulu pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin mengesahkan Guan Eng, akan dihadapkan atas dua lagi pertuduhan berkaitan tanah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat ini.
Wan Shaharudin seperti dilaporkan Berita Harian berkata, pihak pendakwaan menyerahkan notis kepada Guan Eng pagi tadi untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu adalah berkaitan kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.
Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

