POLIS mengenal pasti ada fakta tidak tepat yang didakwa menerusi video tular kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata, mengikut siasatan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, tiada laporan menunjukkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh terbabit kegiatan berkenaan.
“Saya sudah teliti laporan itu dan beberapa perkara dibangkitkan dalam video itu kurang tepat.
“Penguatkuasaan kegiatan judi oleh IPD Sungai Buloh dilakukan dengan giatnya, namun ada beberapa kelemahan dikenal pasti dalam kalangan anggota namun ia bukan kelemahan besar.
“Ketua Polis Daerah Sungai Buloh (Superintendan Shafa’aton Abu Bakar) pun sebagai wanita menjalankan peranan dengan baik,” katanya seperti dipetik BH.
Pada 8 Ogos lalu, pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut menggemparkan negara selepas memuat naik video siaran langsung mendedahkan masih wujud premis perjudian aktif dan penjualan rokok seludup sekitar Sungai Buloh tanpa sebarang tindakan.
Asri kemudian sekali lagi mencetuskan kontrovesi apabila mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat. – Malaysiapost

