BERSATU perlu mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Mengesahkan parti itu sedang menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas tersebut kerana hadir majlis parti Pejuang, Hamzah berkata selepas ada bukti, tindakan akan diambil mengikut perlembagaan Bersatu.
“Ada juga yang kita terima aduan tapi seperti juga kita pernah lakukan kepada bekas-bekas pemimpin Bersatu, apapun keputusan kita nak buat, kita kena dapatkan kepastian dulu.
“Itu semua kita telah hantar, dan bila sudah ada kepastian, kita akan ambil tindakan ikut perlembagaan kita.
“(Ia) sedang disiasat,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.
Osman sebelum ini hadir dalam program kempen calon Bebas tajaan Pejuang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.
Ahad lalu, satu lagi siri gambar dan klip video pendek dimuat naik di Facebook menunjukkan Osman hadir satu lagi acara parti yang ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir itu.
Menurut Hamzah, semua bekas anggota yang dipecat Bersatu sebelum ini hanya diambil tindakan setelah parti itu mendapat cukup bukti.
“Semua yang telah kita pecat, sebenarnya aktiviti perlakuan mereka tu kita perhatikan, kita ambil semua dan itu rekod-rekod yang kita ada barulah kita ambil keputusan,” katanya. – Malaysiapost

