Peguam Negara sangkal dakwaan MB Selangor

0
2
The Honourable Datuk Idrus Bin Harun Solicitor General

PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung pencemaran air di Selangor.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau berkata, sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.

“Pada 17 Mac 2020, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melalui siaran media memaklumkan bahawa keempat-empat loji rawatan air di Sungai Selangor telah dihenti tugas bermula jam 7 malam 17 Mac lalu, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Selangor dijalankan.

“Sebanyak 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang sudah dikeluarkan,” katanya.

Idrus berkata demikian selepas Amirudin sebelum ini dilaporkan mendakwa peguam negara tidak mengambil tindakan meskipun siasatan berhubung isu itu selesai pada April.

Peguam Negara memaklumkan, kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara.

Selanjutnya, katanya, dalam kejadian terbaharu pada 3 September lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi-agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Pada 16 April lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada 16 April akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dalam kejadian itu, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam utama. Semua loji terbabit kembali beroperasi semula keesokan hari.

Kejadian hampir sama berulang Jumaat lepas, apabila empat loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa ditutup susulan pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang.

Ia menyebabkan 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual.-Malaysiapost