Isu air: 136 kawasan masih belum terima bekalan

0
2

SEBANYAK 136 kawasan terjejas membabitkan daerah Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur, masih belum menerima bekalan air sehingga jam 6.30 pagi tadi.

Manakala 290 kawasan di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih semuanya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan 89.47 peratus daripada 1,156 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan sudah pulih sepenuhnya.

“Sebanyak lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai dalam kumpulan satu yang sepatutnya pulih jam 12 tengah malam, 7 September.

“Manakala 58 kawasan yang berada dalam kawasan dua masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada jam 12 tengah malam, 8 September.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Kuala Selangor (100 peratus), Hulu Selangor (100 peratus), Kuala Langat (100 peratus), Petaling (95.72 peratus), Gombak (94.89 peratus), Klang/Shah Alam (59.32 peratus), dan Kuala Lumpur (85.03 peratus).

Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan kawasan yang masih belum pulih berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Tambah Elina, Air Selangor menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air di saluran interaksi rasmi dan tidak menyebarkan berita tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya lagi. – Malaysiapost