SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berhubung skandal tanah di Perak.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika mengesahkan menerima laporan yang dibuat itu berkata, aduan itu susulan tersebar surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.
Justeru, beliau meminta semua pihak untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu supaya siasatan telus dapat dijalankan.
“SPRM berharap semua pihak tidak mengulas lanjut serta memberikan ruang bagi siasatan dijalankan secara telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia bekerjasama dengan siasatan SPRM berhubung dakwaan yang terkandung dalam ‘surat layang’ baru-baru ini.
Satu laporan dibuat Naib Presiden Putra, Hamidah Osman, selepas tular surat mendakwa lebih 1,200 hektar tanah diberikan kepada individu yang dikaitkan dengan Faizal. – Malaysiapost

