BEKAS Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin secara terbuka mengakui partinya dan juga PAS tidak mempunyai calon yang berwibawa untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri
Bahkan katanya, pemimpin kedua-dua parti itu tidak mampu mencabar kewibawaan yang dimiliki Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Berdasarkan kewibawaan, tiada yang lebih berwibawa selain Muhyiddin, sama ada daripada Umno, PAS atau daripada Bersatu.
“Kalau kita tengok daripada segi (penerimaan)rakyat (seperti) telah diumumkan dapatan daripada badan penyelidikan dan itu adalah hakikat (rakyat menerima Muhyiddin)” katanya.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, hari ini.
“Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka Perdana Menteri yang kita dukung adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Khairy lagi.
Khairy berkata demikian mengulas mengenai calon perdana menteri daripada Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Sebelum ini Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional membuat ketetapan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam PRU15.
Bagaimanapun Umno membuat ketetapan muktamad untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.
Sementara itu Khairy berkata, Umno perlu mendapat pembahagian kerusi paling banyak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Ia berdasarkan kepada faktor kekuatan, pengaruh dan kepemimpinan yang dimiliki parti itu.
“Saya harap juga Umno akan bertanding majoriti kerusi sebab kalau lihat dari kekuatan bilangan kerusi diberikan kepada Umno Sabah, saya rasa perlu lebih banyak.
“Formula itu kita serah kepada pucuk pimpinan tetapi daripada segi prinsip dia, daripada segi kekuatan, daripada segi pengaruh, daripada segi kepemimpinan, saya rasa Umno wajar terima kerusi yang paling banyak,” katanya. -Malaysiapost

