MENTERI dari Semenanjung masih tidak mengerti atau buat-buat tidak mengerti isu utama di Sabah.
Demikian luahan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung kenyataan palsu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata padah jadinya.
Bagaimana seorang yang bergelar Timbalan Menteri boleh mengeluarkan kenyataan palsu di dalam Dewan Negara?
“Lebih-lebih lagi sebagai Timbalan Menteri yang bertanggungjawab perihal kmunikasi dan multimedia?
” Tergamak beliau menuduh seorang anak Sabah yang cukup tekun berusaha untuk menimba ilmu, sebagai pendusta?
“Yang paling mengecewakan saya, seperti biasa menteri dari Malaya ini masih tidak mengerti atau buat-buat tidak mengerti akan isu utama. Sabah masih lagi antara negeri paling tinggi dalam ketidakcapaian internet,” katanya menerusi Facebook.
Zahidi dikecam selepas mendakwa gadis dari Pitas, Veveonah Mosibin yang tular selepas terpaksa memanjat pokok untuk mengikuti peperiksaan dalam talian, sebagai menipu kerana tiada peperiksaan ketika itu.
Beliau bagaimanapun meminta maaf kepada Veveonah dan mengaku tersilap kerana mendapat maklumat yang tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Donald Mojuntin pada persidangan Dewan Negara, baru-baru ini.
Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), berkata akses internet bukan lagi suatu keistimewaan, bahkan menjadi keperluan.
“Anak-anak kita di universiti, kolej dan di sekolah, kesemua mereka memerlukan internet untuk mendapatkan akses kepada ilmu pembelajaran.
“Sebab itulah pentingnya bagi kita mengusahakan sesuatu secara drastik untuk memastikan perkara ini tidak lagi berpanjangan.
“Kepada saudari Veveonah Mosibin, usah ambil peduli segala tohmahan dan kenyataan palsu oleh mereka yang tidak mengerti,” katanya.
Beliau menasihatkan Veveonah supaya terus berpegang kepada semangat jitu dan kesungguhan untuk kekal berusaha menimba ilmu.
“Saya percaya dengan kecekalan yang ada, saudari akan menjadi insan yang berjaya nanti,” katanya. – Malaysiapost

