Kilang punca pencemaran bau ditutup, disita

0
2

Fitri Nizam

KILANG selenggara mesin dan jentera di Rawang yang disyaki punca pencemaran bau di Sungai Selangor, ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kilang terbabit turut dikenakan kompaun oleh kerajaan negeri dan kertas siasatan sudah dibuka oleh pihak berkenaan untuk proses pendakwaan.

“Tindakan sewajarnya telah diambil di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan dan menyokong agar pindaan dilaksanakan untuk hukuman di peringkat Persekutuan,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

“Antara usaha yang sedang dibuat kini adalah meletakkan serbuk arang (activated carbon) untuk mengurangkan kesan bau pencemaran, pengepaman air dari kolam Bestari Jaya sebanyak 400 JLH, pelepasan air Empangan Sungai Tinggi bagi tujuan ‘flushing’ serta ‘dilution’ pencemaran tersebut,” katanya.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas 7.15 pagi semalam manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi. – Malaysiapost