Musa nafi beri tanah Yayasan Sabah kepada pihak ketiga

0
2

TAN Sri Musa Aman menafikan kerajaan negeri sebelum ini dengan sengaja memberi tanah milik Yayasan Sabah kepada pihak tertentu seperti didakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bekas Ketua Menteri itu menegaskan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Mohd Shafie sedar tuduhan itu tidak benar kerana kawasan milik yayasan itu tidak boleh diberikan kepada pihak ketiga.

“Baru-baru ini, Shafie menuduh bahawa pentadbiran kerajaan sebelum ini dengan sengaja memberikan tanah milik Yayasan Sabah kepada segelintir pihak.

“Terang lagi bersuluh, niat Shafie itu amat meragukan kerana sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, beliau sepatutnya sedar bahawa tuduhan itu tidak benar disebabkan kawasan yang dilesenkan kepada Yayasan Sabah tidak boleh diberikan kepada pihak ketiga.

“Sebagai pemegang hak tunggal, Yayasan Sabah hanya boleh menjemput pihak ketiga untuk mengeluarkan hasil balak menerusi kaedah Pembalakan Kurang Impak (RIL) atau membangunkan kawasan yang dilesenkan secara kontrak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Musa berkata, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dalam kempennya baru-baru ini tanpa segan silu melemparkan tuduhan liar, selain sanggup memanipulasi isu perkauman untuk mengelirukan masyarakat.

“Menyebarkan berita palsu kini sudah menjadi ‘resam’ baharu kepada Warisan.

“Saya beranggapan mungkin bagi sesetengah ahli politik, berita palsu, penipuan, kempen kotor dan pembunuhan karakter adalah satu-satunya jalan untuk mereka dilantik,” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga itu turut mempersoal motif sebenar Mohd Shafie apabila menuduh kononnya segelintir komuniti dijadikan ‘anak emas’ oleh kerajaan sebelum ini dalam hal berkaitan pemberian tanah.

Tegas Musa, semua ucapan Mohd Shafie tidak lebih daripada sekadar retorik politik yang disulam pelbagai kenyataan ralat bersandarkan propaganda.

“Seseorang tidak boleh dipersalahkan sekiranya beranggapan bahawa ucapan Shafie sarat dengan elemen perkauman,” katanya.

Musa turut mengingatkan pencapaian kerajaan pimpinan Warisan selama dua tahun memerintah yang tidak menonjol, selain hanya pandai mengumumkan projek berbilion ringgit tetapi tidak kelihatan.

“Tidak banyak kejayaan ditempa Warisan sejak mereka secara tidak berperlembagaan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan yang dibentuk selari perundangan, pasca PRU-14.

“Dengan hanya berbekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkadar 0.5 peratus (terendah di Malaysia untuk 2019), Shafie dan barisan menterinya tampak gembira tatkala menghabiskan masa hadir keramaian dan majlis potong reben untuk merasmikan projek serta program yang dirintis pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya Warisan pakar dalam hal mengumumkan projek bernilai berbilion ringgit yang sehingga kini langsung tidak nampak bayang.

“Harus saya katakan, Indeks Pencapaian Utama (KPI) Warisan dalam menabur janji kosong dan menyebarkan berita palsu semakin menjadi-jadi, tetapi saya risau dengan nasib Sabah sekiranya ini saja yang mampu ditawarkan,” katanya.