Isu surat sokongan, mengapa Ikmal masih tidak dikenakan tindakan – Guan Eng

0
1

Nurul Huda Abhar

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan mengapa tiada tindakan terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai surat sokongan melantik anaknya sebagai ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggambarkan tindakan minta sokongan untuk ahli keluarga adalah salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang sedang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tiada keraguan di sini bahawa SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal telah meminta jawatan yang menguntungkan anaknya sendiri menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

“Ikmal bukan sahaja telah mengaku bahawa menulis surat sokongan tersebut, malah mengaku bahawa tindakan itu adalah salah dan telah menarik balik surat tersebut.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Guan Eng, tindakan mengeluarkan surat sokongan jelas melanggar salah satu kesalahan SPRM iaitu meminta rasuah atau habuan.

Malah, tindakan mendapatkan habuan tersebut dianggap telah lengkap apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan Ikmal melantik anaknya ke jawatan itu.

Katanya lagi, tindakan itu merangkumi tiga kesalahan iaitu salah guna kuasa, nepotisme dan rasuah sekali gus membawa kesan buruk kepada kerajaan kerana terdapat pihak yang menggunakan jawatan awam bagi kepentingan peribadi.

“Setakat ini, tiada apa-apa berita mahupun perkembangan terbaru daripada SPRM tentang isu ini. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang, tidak kira seorang VIP (ahli ternama) ataupun rakyat biasa.

“SPRM harus mengambil tindakan segera terhadap Ikmal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengamalkan dasar pilih kasih,” ujarnya. – Malaysiapost