Aktiviti kelab malam catat kes ingkar PKPP tertinggi

0
1

Fitri Nizam

SAMBUTAN malam kemerdekaan di kelab malam menjadi penyumbang tertinggi kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila seramai 600 individu ditahan dan dikompaun semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata polis menahan seramai 778 individu atas kesalahan ingkar PKPP sepanjang semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 98 individu direman, tujuh dijamin manakala 673 lagi dikenakan kompaun.

“Kesalahan paling tinggi dikesan adalah aktiviti dalam pub atau kelab malam iaitu membabitkan 600 kes di seluruh negara.

“Selain itu, aktiviti melibatkan kehadiran ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal juga mencatatkan kes tertinggi iaitu 127,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti membabitkan hiburan di kelab malam atau pub masih belum dibenarkan oleh kerajaan.

Justeru, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi membanteras aktiviti di kelab malam dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PDRM akan memohon bantuan PBT untuk mengenakan tindakan tegas terhadap premis pusat hiburan termasuk menarik balik permit operasi mereka,” katanya. – Malaysiapost