PKPP dilanjut hingga 31 Disember

0
2

Fitri Nizam

KERAJAAN memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri, sebentar tadi.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus ‘super spreader’ di negara justeru, peraturan kuarantin yang ketat di tempat tertentu akan dikuatkuasakan.

“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19 mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia.

“Melihat kepada kes-kes yang berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif malah menular secara cepat pada skala yang besar,” katanya.

Muhyiddin berkata, selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung Covid-19 yang diurus oleh Nadma juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

“Sehubungan itu, pihak pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian.

“Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa Covid-19 dan menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini,” katanya