‘Tender rundingan terus RM6.61 bilion, terlalu besar untuk hanya 22 bulan’

0
1

Nurul Huda Abhar

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) memohon siasatan terperinci terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kelulusan 101 projek tender rundingan terus bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata pihak berkuasa yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuat siasatan segera agar rakyat mendapat penjelasan lengkap perkara itu.

“Satu laporan kepada pihak SPRM akan dibuat pada Khamis ini supaya tindakan segera akan diambil.

“Ini kerana semua perolehan yang dibuat secara rundingan terus mesti mematuhi garis panduan ditentukan Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara hari ini.

Menurutnya lagi, jika terdapat salah guna kuasa dari segi pematuhan syarat rundingan terus yang ditetapkan, pihak yang terlibat harus kenakan tindakan sewajarnya.

Tambahnya, Ummah tidak boleh menerima sebarang tindakan penyelewangan atau “kroni” yang sering dilabel berlaku dalam institusi kerajaan.

“Kita bagi pihak rakyat merasakan ini sesuatu yang mengejutkan. Kerajaan PH yang dahulu menyatakan tidak akan wujud lagi tender-tender secara ‘direct nego’,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi adalah susulan laporan pertama yang dibuat di IPD Kerian, Perak pagi tadi.

“Kami akan ubah masa, tempat dan nama pelapor sahaja. Ummah bahagian setiap negeri akan buat laporan polis,” ujarnya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sejumlah RM6.61 bilion nilai perolehan telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan sepanjang pentadbiran PH. -MalaysiaPost